
Masalah Anak Lambat Bercakap. Apa Petua & Cara Mengatasi ?
Masalah Anak Lambat Bercakap
Pada umur 1 tahun 6 bulan, ada anak yang dah mula bercakap. Boleh sebut “mama, baba, nak, tu, bye”
Namun ada juga yang belum bercakap. Pada pendapat saya, selagi anak belum mencecah usia genap 2 tahun, ibu bapa masih sempat ajar sendiri anak anda di rumah.
Ada ramai kanak-kanak yang tidak suka dipaksa meniru perkataan. Kita sebut, dia angguk saja. Jadi ibu bapa kena banyak bermain bersama anak supaya mereka tidak rasa seperti dipaksa. Dalam keadaan bermain, aktiviti bersuara dan bercakap juga mestilah seronok kerana namanya ialah bermain.
Contoh aktiviti:
- Mainan haiwan. Reka cerita sambil bermain. “Lembu ni cari baby dia. Dia panggil moo moo….mana baby ni…mooo”. “Itik ni nak mandi…pap pap pap…gosok gigi pap pap pap…basuh kaki….pap pap pap”. “Singa ni nak makan lembu…aum aum…makan lagi aumm…”
- Mainan puppet. Pakai teddy bear sorok tangan belakang bantal pun boleh. Main ulang-ulang saja, seperti main aum cak. Tapi dalam aktiviti ni, sebut nama anak. Kemudian apabila nak menyorok semula ke belakang bantal, sebut “bye”. Anda boleh buat seperti suspen dan geletek juga. Anak-anak mesti suka.
- Main bubbles. Anda boleh ajar anak sebut “pop pop pop” setiap kali belon dipecahkan. Apabila semua dah pecah, sebut “habis”. Kalau dia nak lagi, dia kena sebut “nak” atau “lagi”. Jadi anda mesti tunggu respon dia. Ulang banyak kali sampai dia faham yang dia kena sebut dulu, baru dapat bubbles.
- Menyanyi. Biasakan nyanyi lagu yang sama setiap hari, 4-5 kali sehari. Kemudian anda tunggu dia habiskan perkataan terakhir dalam ayat lagu tersebut. Contoh “happy birthday to….” dia kena sambung “you”.
- Pengukuhan tahap kefahaman. Latih anak mengenal anggota badan, barang di dalam rumah, menunjuk gambar di dalam buku dan mengikut arahan yang diberikan.
Sambil anda bermain, perhatikan perkara berikut:
– pandangan mata bersama
– kemahiran dan minat dia terhadap permainan yang diberikan
– kebolehan dia meniru perbuatan yang ditunjukkan
– respon yang diberikan apabila namanya dipanggil secara tiba-tiba.
Jika anak telah masuk usia 2 tahun, tetapi masih tidak bercakap, maka anda mestilah bertindak dengan merujuk anak anda kepada mana-mana speech therapist berhampiran.
*Artikel ini adalah tulisan asal oleh Puan Ruby dari rubyatika.wordpress.com