Quantcast
Viewing all 265 articles
Browse latest View live

6 Jenis Makanan Kanak Kanak Yang Sihat

Image may be NSFW.
Clik here to view.

Jenis Makanan Kanak Kanak Yang Sihat. Cukup Sesuai & Berkhasiat. Pasti Digemari & Disukai!



Adalah amat penting untuk memasukkan makanan daripada semua kumpulan diet kanak-kanak agar mereka mendapat semua nutrien yang diperlukan untuk pertumbuhan dan perkembangan mereka. Teruskan membaca untuk mengetahui 7 jenis makanan yang anda mesti masukkan dalam diet anak anda.

Menggalakkan anak-anak untuk mempunyai gaya hidup yang sihat juga amat penting. Lebih-lebih lagi, zaman sekarang yang penuh dengan lambakan makanan rapu yang mudah dibeli. Secara asasnya, ibu-bapa perlu mengamalkan dan memperkenalkan makanan sihat dalam diet keluarga. Jangan pula makan makanan rapu yang popular zaman 90an.

Kanak-kanak memerlukan protein, karbohidrat, lemak, vitamin, dan mineral untuk membesar. Jika ada masa, boleh baca artikel kami sebelum ini yang membincangkan tips pemakanan yang sihat untuk kanak-kanak. Ini contoh makanan kanak kanak yang sesuai.

1. Buah-buahan


Buah-buahan membekalkan serat, vitamin dan mineral penting. Buah beri (seperti blueberry, raspberry, blackberry) adalah yang terbaik kerana ia melindungi daripada penyakit jantung, kencing manis, memperbaiki fungsi otak dan mengurangkan lemak yang tidak diingini.

Oren adalah sumber yang sangat baik untuk vitamin C. Campurkan buah-buahan yang berlainan warna dan membuat ‘smoothie‘ dalam mangkuk anak anda yang mempunyai warna yang menarik.

Namun, tidak perlu tampak seperti ‘Mat Salleh‘ sangat. Buah-buahan tropika juga amat bagus untuk anak kita. Buah-buahan tempatan seperti belimbing, pisang, tembikai dan lain-lain juga sesuai. Mana-mana buah-buahan adalah baik untuk anak anda.

2. Sayur-sayuran


Cuba selitkan diet anak anda dengan sayuran. Tomato mempunyai ‘lycopene‘ yang melawan kanser. Untuk cara yang mudah, anda boleh menggunakan sos tomato dalam pasta atau bebola daging. Sayur kobis, brokoli dan lain-lain pula mempunyai phyconutrients, serat dan vitamin.

Anda boleh gaulkan salad ini dalam mangkuk anak anda bersama-sama dengan mayonnaise mengikut kesesuaian. Jika buat sandwic, tambahkan kentang manis. Anda juga boleh pertimbangkan bayam, yang penuh dengan vitamin dan zat besi, dan selasih, penuh dengan antioksidan.

Sekali lagi, nampak seperti ‘Mat Salleh’ sangat? Kalau tekak tak boleh masuk, ajarkan anak makan ulam-ulaman tempatan. Sedap juga!

3. Telur


Telur adalah sumber protein yang berkualiti tinggi, penuh dengan vitamin D dan antioksidan. Protein membantu dalam membina badan. Manakala vitamin D membantu tubuh untuk menyerap kalsium.

Antioksidan pula dapat membantu melindungi kulit daripada kerosakan UV. Telur walaupun dalam kuantiti yang sedikit, dapat mengisi perut anak anda jika diambil dalam sarapan pagi. Untuk vegetarian, tauhu adalah pengganti yang baik untuk telur.

4. Ikan


Ikan adalah sumber protein yang baik dan omega-3 asid lemak yang membantu dalam meningkatkan perkembangan otak dan memberikan kuasa anti-radang. Salmon dan tuna adalah ikan yang sihat dan mesra kanak-kanak di antara banyak pilihan lain. Vegetarian boleh memilih makanan sihat yang lain untuk memenuhi protein dan omega-3 asid lemak keperluan.

Kalau ikan seperti di atas agak mahal, tukarkan dengan ikan tempatan yang lebih murah. Pergi ke pasar pada awal pagi untuk mendapatkan sumber protein yang segar!

5. Produk tenusu


Protein sangat penting untuk pertumbuhan, dan kalsium, penting untuk tulang yang kuat dan gigi kanak-kanak. Yogurt mengandungi bakteria sihat yang meningkatkan imuniti dan membantu penghadaman.

Keju juga merupakan sumber yang ideal bagi protein. Sekali-sekala, letakkan keju dalam sandwic berserta salad anak-anak anda .

6. Kacang


Kacang menyediakan protein, serat dan kalsium. Kacang adalah sumber zat besi yang berasaskan tumbuhan. Untuk meningkatkan penyerapan zat besi dalam badan anak-anak anda, boleh makan kacang dengan makanan yang kaya dengan vitamin C seperti jus lemon atau keledek (juga dipanggil ‘sweet potato’). Untuk lebih kreatif, boleh campurkan kacang dalam sayur-sayuran.

Mari kita ajar anak-anak kita untuk makan makanan yang sihat pada usia lebih awal. Maka akan menjadi lebih mudah untuk bagi mereka memahami kepentingan kesihatan dan pemakanan pada masa akan datang. Tidak akan timbul lagi soal anak cerewet makan dan asyik memilih makanan. Juga boleh baca tips picky eater dari MayoClinic.

Selepas baca apa makanan yang baik untuk anak-anak, baca pula makanan yang perlu dijauhkan dari kanak-kanak. Barulah sempurna!

Selamat mencuba!

Kenapa Bayi Perlu Sendawa Lepas Minum Susu?

Image may be NSFW.
Clik here to view.

Perlukah Bayi Sendawa?



Mempunyai bayi adalah salah satu perkara yang paling membahagiakan, sekaligus menakutkan, terutama bagi ibu yang baru mempunyai anak. Ketika bayi kelihatan tak selesa atau ingin menangis setelah menyusu, kemungkinan besar bayi belum sendawa. Bayi yang sendawa setelah disusui mungkin adalah perkara remeh, namun perkara tersebut penting untuk kesihatan dan keselesaan bayi.

Berikut adalah beberapa sebab mengapa bayi perlu sendawa setelah menyusu :

1. Menjaga kesihatan sistem dalam tubuhnya


Apabila udara masuk ke tubuh bayi saat menyusu botol atau badan, udara tersebut akan mengganggu sistem penghadaman. Hal ini kemudian membuat bayi rasa tak selesa pada bahagian perutnya. Kerana itu, setelah menyusu pastikan bayi sendawa untuk mengeluarkan udara tersebut dari tubuhnya dan mencegah masalah pencernaan.

2. Mencegah ‘colic ‘


Colic adalah rasa sakit yang parah dan biasanya disebabkan oleh angin yang terperangkap pada perut. Jika bayi mengalami hal ini biasanya mereka menghisap banyak angin atau udara ketika makan. Membuat bayi sendawa selepas makan akan mengurangkan risiko bayi mengalami colic dan membuat pencernaannya lebih selesa.

3. Tidur bayi lebih nyenyak


Bayi yang tidak bersendawa selepas makan, kemudian tidur, biasanya akan sering terbangun semasa tidur. Ketika anda melihat bayi kelihatan tak selesa dan sering terbangun dari tidur, boleh jadi salah satu penyebabnya adalah rasa tak selesa atau sakit pada perut. Cuba untuk membuat bayi sendawa, kemudian tidurkan bayi lagi.

4. Bayi lebih selesa dan aktif


Gas dalam pencernaan bahkan boleh membuat orang dewasa merasa tak selesa dengan tubuhnya, hal yang sama juga berlaku pada bayi. Gas dalam sistem pencernaan akan membuat mereka tak selesa dan tak suka bekerja. Kerana itu, cubalah untuk membuat bayi sendawa selepas makan untuk menghilangkan gas dalam perutnya. Bayi akan menjadi selesa dan terus aktif sepanjang hari.

Pendidikan Awal Kanak-Kanak Bermula Dari Akad Nikah?

Image may be NSFW.
Clik here to view.

Pendidikan Awal Kanak-Kanak



Duhai ibubapa yang bijaksana,

Cukupkah sekadar kita melahirkan seorang anak dari dalam rahim kemudian dia membesar begitu sahaja tanpa sebarang dorongan, didikan dan pentarbiyyahan?Tidakkah kita mahu anak kita hidup dengan penuh makna di setiap minit penghidupannya? Dia melihat burung, pokok dan ikan dan mengaitkan ia dengan kebesaran Allah lalu dia mengira bilangannya dan mengejanya pula dari gabungan huruf-huruf yang anda telah ajarinya?

Subhanallah…
Allah telah berfirman di dalam kitab suci Al Qur’an:

“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!”

[As-Shafaat :100] 

Melahirkan anak soleh memerlukan ibubapa yang bijaksana.Bijaksana itu adalah ibubapa yang soleh yang sudah tentunya berilmu. Kita tidak akan mensia-siakan amanah Allah swt. Kita mahu anak kita menjadi hamba Allah yang berguna di dunia dan juga neag range di akhirat.

Pentingkah pendidikan awal kanak-kanak? 


Ya, ia sangat penting. Seorang anak yang hidup di dalam keluarga yang berilmu, soleh, sabar, penyayang, bercita-cita tinggi amatlah berbeza dengan seorang anak yang hidup di dalam keluarga yang porak peranda, tidak amanah, tidak bertanggungjawab, tidak berkasih sayang dan tidak punya arah tuju.
Di dalam Islam, pendidikan awal anak bukan bermula daripada dia lahir.Tetapi ianya bermula daripada sebuah perkahwinan lagi. Seorang suami akan memilih seorang ibu yang baik untuk anaknya. Islam menganjurkan dan menggalakkan umatnya berkahwin adalah kerana perkahwinan itu adalah untuk menjaga maslahah kemasyarakatan.

1. Bagi melahirkan anak yang baik, perkahwinan itu perlu untuk memelihara benih-benih manusia.

Allah berfirman di dalam surah An-Nisa’ ayat 1:

Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu dari diri yang satu, lalu dijadikan daripadanya pasangan (suami isteri), lalu diperkembang biakkan daripada keduanya lelaki dan wanita yang banyak. [An-Nisa’: 1]

2. Bagi melahirkan anak yang baik, perkahwinan itu perlu bagi memelihara keturunan.

Dengan sebuah perkahwinan yang barakah dan halal di sisi syariat Islam, seorang anak itu telah selamat daripada firnah dunia dan manusia. Mereka akan jadi tenteram kerana ada keturunan yang jelas. Ini dapat memelihara mereka daripada terjebak dengan masalah moral dan akhlak.

3. Bagi melahirkan anak yang baik, perkahwinan itu perlu bagi suami isteri membina keluarganya.

Dengan perkahwinan, suami isteri akan sentiasa bercita-cita untuk mendidik dan membangunkan rohani anak-anak. Suami akan berusaha keras mencari rezeki untuk memberi makan kepada anak-anak dan isteri pula akan berganding bahu memberikan pendidikan terbaik buat anak.

4. Bagi melahirkan anak yang baik, perkahwinan itu perlu untuk menyemarakkan kasih sayang dan kecintaan.

Seorang isteri akan sentiasa merindu suaminya. Suami pula akan mencintai isteri. Ibubapa pula akan menyayangi dan mempunyai rasa belas kasihan terhadap anak-anaknya. Perasaan ini akan sentiasa wujud di dalam keluarga yang barakah dan berada di dalam redha Allah. Nilai kasih sayang yang tersebar di dalam sebuah keluarga akan membina keluarga yang bahagia. Apabila keluarga sudah saling sayang menyayangi, maka anak-anak akan membawa satu contoh tauladan kepada masyarakat di luar pula.

Begitulah hebatnya sebuah perkahwinan.Perkahwinan yang barakah dapat melahirkan insan yang hebat iaitu anak-anak anda sekarang.

Selepas berkahwin, maka suami isteri akan bercita-cita untuk mendapat seorang anak. Tiada yang lebih menggembirakan pasangan suami isteri apabila mereka diberitakan bakal menimbang cahaya mata. Namun perlu diambil kira, adab-adab ketika ‘bersama’ juga akan memberikan kesan terhadap anak yang dilahirkan. InsyaAllah saya akan sentuh berkenaan perkara itu di dalam post saya akan datang.

Apabila sudah lahir seorang bayi, maka bermulalah fasa pendidikan yang seterusnya.

Tiga tahun pertama dalam kehidupan kanak-kanak merupakan waktu di mana perkembangan otak berlaku dengan pesat.Walaupun perkembangan otak terus berlaku selepas itu tetapi tiga tahun pertama merupakan waktu yang paling kritikal.Ketika ini otak lebih fleksibel dan bersedia untuk mempelajari sesuatu. Berat otak bayi ketika dilahirkan ialah 25% daripada berat otak orang dewasa.

Ketika mencapai usia 3 tahun, otak bayi telah berkembang menjadi berjuta- juta sel (yang terdiri dari neurons dan sel-sel otak yang lain). Sel-sel ini kemudiannya bercantum untuk membentuk berjuta-juta “jalinan” (synapses). Jalinan antara sel ini kemudian membentuk pusat kawalan yang kompleks bagi perkembangan mental, emosi, fizikal dan spiritual.

Segala perbuatan dan percakapan kita terhadap seorang anak walaupun masih kecil, akan mudah diserap oleh mereka. Jadi berhati-hatilah ketika anda berkata dan melakukan sesuatu.

Begitulah peri pentingnya pendidikan awal anak. Ini menentukan peribadinya pada masa akan datang.

13 Tips Kenali Ciri Taska Atau Pengasuh Yang Baik

Image may be NSFW.
Clik here to view.

Taska Atau Pengasuh?



Kita banyak mendengar pelbagai kes dan kemalangan yang berlaku di taska mahu pun di rumah pengasuh. Ini sangat membimbangkan ibu bapa yang bekerja dan terpaksa menghantar anak mereka dsfsdf di taska atau di rumah pengasuh. Ramai ibu bapa yang sangat teliti dalam memilih taska untuk anak mereka, namun ada juga yang tiada pilihan langsung. Jadi terpaksa menghantar anak-anak ke taska yang tidak memenuhi kehendak mereka.

Apakah ciri-ciri taska yang baik?


1. Taska mestilah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ini bagi memastikan taska tersebut mengikut standard yang ditetapkan dan menepati piawaian dalam penjagaan kanak-kanak.

2. Kawasan taska adalah selamat. Ini amatlah penting. Lihat kawasan sekeliling, adakah ia kawasan perumahan atau kawasan perkilangan? Bagaimana pula dengan keadaaan jalan raya yang berhampiran dengan taska. Itu semua perlu diambil kira.

3. Memiliki tangga keselamatan, pintu kecemasan dan alat pemadam kebakaran. Ini juga sangat penting. Taska perlu mendapat kelulusan pihak Majlis Negeri dan juga Bomba. Ini bagi memastikan bahawa jika berlaku kecemasan seperti kebakaran, taska berkenaan bersedia untuk mengahdapi kemungkinan.

4. Taska bersih bagi menjamin kesihatan anak-anak. Penyakit berjangkit seperti penyakit kaki, tangan dan mulut selalu berlalu di kalangan kanak-kanak. Ianya mudah merebak jika kawasan tempat anak-anak tinggal dan diletakkan tidak dijaga dengan baik dan tidak bersih.

Memilih pusat jagaan atau taska yang baik bukan sahaja tertumpu kepada persekitaran  neag Blueatau suasana yang bagus dan menyakinkan. Aset paling penting yang perlu mama titik beratkan adalah pemilihan pengasuh atau guru kepada anak anda.

Bagaimana anda mengenali ciri-ciri pengasuh yang baik untuk anak anda?
Ikuti tip ini.


1) Pengasuh mengamalkan cara hidup Islam yang syumul.


Sebagai seorang Muslim, tentu anda mahu pengasuh anak anda seorang Islam. Ini adalah amat penting kerana penampilan, perwatakan dan tingkah laku pengasuh sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada anak. Pengasuh yang baik akan sentiasa memelihara aurat dan akhlaqnya. Dia bukan sahaja memakai tudung dan berpakaian sopan yang menutup aurat, tetapi dia juga berilmu. Pengasuh boleh membaca doa-doa harian yang mudah, membaca al-qur’an dan berzikir.

2) Pengasuh mengetahui tentang penjagaan bayi dan kanak-kanak.


Ilmu Pendidikan awal kanak-kanak amatlah penting kepada seorang pengasuh. Bukan sahaja dia tahu menukar lampin dan membuat susu, malah dia juga tahu bagaimana menangani anak yang bergaduh atau mengendalikan anak yang menggigit.

3) Anak anda selesa dan suka kepada pengasuhnya.


Ini mungkin mengambil masa yang lama untuk anak anda mesra dan selesa ketika berada bersama pengasuh. Mama perlu ingat, walau pengasuh yang terbaik sekalipun tidak dapat menggantikan tempat seorang mama. Selepas beberapa hari anak anda bersama pengasuhnya, anda mesti dapat mengesan adakah anak anda selesa dan mesra bersama pengasuh atau tidak. Jika anak masih tidak mahu kepada pengasuhnya, ini mungkin bermakna pengasuh tidak dapat memberikan kemesraan sewajarnya dan personaliti pengasuh yang tidak baik.

4) Pengasuh gembira apabila melihat anak anda.


Mama akan dapat lihat jika pengasuh benar-benar gembira menjaga dan mengasuh anak anda dan anak anda juga dapat merasakannya. Kasih sayang dan kemesraan akan terserlah ketika mereka bersama-sama.

5) Pengasuh akan membantu anda menyelesaikan sebarang masalah dan memberikan penjagaan yang sewajarnya kepada anak anda.


Jika anak anda susah untuk makan, pengasuh akan cuba menarik perhatian anak untuk makan seperti meletakkan permainan berhampirannya untuk menjadikan waktu makan anak lebih menarik. Jika anak anda tidak mahu tidur, pengasuh akan bertanya kepada anda nasihat tertentu. Berkerjasama dengan mama dan melakukan pelbagai usaha dalam mengasuh anak anda adalah petanda bahawa pengasuh melakukan kerjanya dengan serius.

6) Pengasuh menghormati masa anda.


Pengasuh yang baik akan membuka pusat jagaan sebelum anda sampai atau memberitahu sebarang kemungkinan kepada anda seawal yang mungkin. Jika berlakunya tiada pengasuh pada satu-satu masa, pengganti akan dicari.

7) Pengasuh akan sentiasa berkomunikasi dan berhubung.


Pengasuh yang bertanggungjawab akan memberitahu tentang sebarang perkembangan dan apa yang berlaku sepanjang hari sewaktu di dalam penjagaannya. Mungkin dengan hanya secebis nota yang diselitkan di beg anak, mama tentu rasa dihargai dan menghargai usaha pengasuh.

8) Anak anda bersih.


Kebersihan petanda kepada pengasuh yang baik. Sebagaimana anda meninggalkan anak dalam keadaan yang bersih, begitu juga anda mengharapkan pengasuh akan menyerahkan kembali anak anda dalam keadaan yang bersih tanpa meninggalkan sebarang kekotoran pada anak.

9) Kemalangan jarang berlaku.


Sudah tentu kemalangan kecil seperti terjatuh atau bergaduh dengan kawan akan berlaku. Tetapi, pengasuh yang baik akan memastikan keselamatan anak anda adalah keutamaannya. Pengasuh akan sentiasa mengawasi anak ketika bermain dan memastikan pagar sentiasa ditutup dan berkunci.

Gendong Bayi Bagai Zaman Dahulu!

Image may be NSFW.
Clik here to view.

Babywearing Malaysia



Apakah Babywearing?


Memilih babywearing adalah satu keputusan yang bijak, lebih-lebih lagi di saat kes penculikan yang semakin menjadi-jadi. Babywearing dapat memberikan akses kepada ibu bapa untuk memenuhi keperluan anak sambal melakukan aktiviti lain.
Babywearing merujuk kepada kelakuan atau perbuatan memegang atau membawa bayi atau kanak-kanak dengan menggunakan ‘pembawa’ atau ‘carrier’. Kebanyakan carrier diperbuat daripada helaian kain woven yang panjang.

Membawa, menggendong atau mendukung bayi adalah sesuatu yang semulajadi dan universal, maka carrier akan memudahkan serta memberikan keselesaan kepada ibu bapa dan penjaga untuk membawa anak mereka di samping menjalakan tugas-tugas seharian.
Babywearing membantu ibu bapa mengendali bayi yang sukar tidur dan ibu muda dapat ,melakukan kerja rumah dengan mudah seperti membuat sandwic mahupun membasuh baju di samping dapat memeastikan bayi selamat.

Dengan menggunakan babywearing dengan betul, ia menyokong bahagian belakang bayi. Pastikan ia sentiasa dalam keadaan semulajadi dan berbentuk C. Ketika dilahirkan, sendi-sendi pinggul seorang bayi masih belum terbentuk dengan sempurna. Jadi amat penting bagi seorang bayi membengkokkan atau membentuk kakinya apabila berada di dalam sling supaya sendi pinggulnya tetap berada di tempat yang betul. Lutut bayi mesti berada lebih tinggi daripada bahagian bawahnya dan kakinya menyokong lutut, di mana ia akan membentuk ‘M’.

Manfaat Babywearing


Bayi yang menggunakan babywearing lebih mudah dikendalikan dan tidur dengan lebih lama. Sistem penghadaman anak adalah lebih baik dan waktu menangis menangisnya adalah lebih pendek daripada anak yang tidak menggunakan babywearing. Bayi yang meggunakan babywearing banyak menghabiskan waktu di dalam zon senyap dan sentiasa peka dengan apa yang berlaku di sekelilingnya. Bayi pra-matang pula akan dapat meningkatkan berat badan mereka lebih cepat apabila mereka menggunakan babywearing kerana mendapat suhu yang lebih baik.

Langkah-langkah Keselamatan


Beberapa langkah keselamatan perlu diambil kira supaya bayi dibawa dengan selamat. Sling yang baik perlu mempunyai fungsi-fungsi berikut (TICKS)

• Tight (Ketat)
• In view at all times (Boleh dilihat setiap masa)
• Close enough to kiss (Cukup rapat untuk dicium)
• Keep chin off the chest (Dagu bayi tidak rapat dengan dada)
• Supported back (Bahagian belakang yang cukup sokongan)

Image may be NSFW.
Clik here to view.

Perangkap Kematian Bayi


Ada baby carrier yang patut dibuang di tempat sampah daripada digunakan untuk membawa bayi anda. Carrier yang berbentuk seperti beg adalah salah satu daripadanya. Baby carrier yang berbentuk seperti beg membeli belah tidak sepatutnya digunakan untuk membawa bayi anda. Ada baby carrier yang dipanggil sebagai ‘baby bag’ yang membawa indikasi bahawa itu adalah sebuah bag bukan carrier.

Dalam tahun 2010, salah satu daripada sling yang berbentuk beg dipanggil, Infantino Sling Rider, dilaporkan menyebabkan 4 kematian disebabkan positional asphyxiation, di mana ia berlaku apabila dagu bayi terlalu rapat dengan dadnya dan menghalang laluan udara.
Ribuan carrier yang tidak selamat dan berisiko telah pun dijual dan akan terus dijual di bawah nama yang berbeza. Namun rekaannya masih lagi sama. Ianya dijual dengan nama Premaxx, Eddi Bauer, Wendy Bellissimo, Snugli, dan banyak lagi. Infantino juga masih dijual sebagai barangan terpakai walaupun ia tidak selamat. Kami menyarankan ibu bapa agar menambah ilmu pengetahuan tentang carrier yang menyokong bayi dengan betul dan selamat supaya tidak membeli carrier yang salah dan meletakkan bayi di dalam keadaan berisiko.

4 Cara Ajar Anak Berkongsi Barang

Image may be NSFW.
Clik here to view.

Cara Ajar Anak Berkongsi Barang. Guna Teknik Psikologi!



Mungkin ini sebahagian masalah yang dihadapi kebanyakkan ibubapa. Saya sering didatangi oleh ibubapa yang mengadu perkara ini. Anak sukar berkongsi barang mainannya, walaupun dengan ibubapa. Perkara ini bukanlah masalah besar tetapi ia boleh menjadi serius apabila anak tersebut mempunyai masalah pertuturan atau lambat bercakap.

Kenapa begitu? Selain eye contact, berkongsi juga adalah sebahagian elemen asas pra-komunikasi. Contohnya; sekarang kita berkongsi cerita yang sama, topik yang sama, membaca artikel yang sama dan berkongsi masalah yang sama. Iaitu topik anak sukar berkongsi. Begitulah dengan anak-anak kita, sekiranya mereka sukar berkongsi, tiada komunikasi 2 hala yang sihat bakal berlaku.

Bukan sahaja komunikasi, malah perkembangan vocab, perkembangan interaksi sosial, dan emosi juga boleh menjadi terhad dan terganggu. Kanak-kanak perlu bermain dengan rakan sebaya untuk rangsang perkembangannya. Secara tidak langsung idea dan kebijaksanaan mereka bertambah.
Bagaimana hendak atasi masalah ini? Di sini saya sertakan 4 teknik yang mungkin berguna buat ibubapa dirumah.

1) Anda Adalah Contoh


Mainkan peranan anda sebagai contoh terbaik. Anda sebagai ibubapa mesti mampu menunjukkan tauladan berkongsi. Sekiranya bermain dengan mereka, pastikan mengikut giliran bermain. Contohnya permainan, baling bola masuk ke dalam bakul. Boleh dilakukan mengikut giliran, mula papa baling, kemudian mama dan kemudian si anak. Cakap dengan dia “Papa baling pula” dengan ini anak faham konsep berkongsi dan main bersama.
Saya pernah didatangi oleh anak yang sangat pandai berkongsi. Inilah teknik yang beliau suami isteri lakukan.

2) Puji Mereka


Puji mereka apabila mereka sudi berkongsi dengan rakan. Dengan cara ini mereka suka lakukannya dengan kerap. Jika boleh, pujilah mereka di hadapan orang yang beliau sayangi.
Si ibu boleh kata begini, “Tengahari tadikan papa, Imran kongsi permainan dia dengan Aiman. Bagus dia main sama-sama” Papa pula sampuklah dengan penuh minat “Ohh ye ke, baguslah Imran pandai kongsi dan main sama-sama”

3) Berbincang


Kadang-kala anak tidak mahu berkongsi sebab permainan tersebut permainan kesayangan mereka. Atau mungkin juga ada sejarah silam yang membuat mereka tidak mahu berkongsi. Permainan mereka dirosakkan atau dihilangkan.
Tanya mereka; “Kenapa Imran tak nak kongsi kereta tu?”
Mungkin Imran akan menjawab; “Dulu Aiman main kereta Imran sampai rosak”
Pujuk dan bincang dengan mereka; “ Mama faham, tapi dulu tu Imran tak sengaja , kesian dia nak main dengan Imran. Kalau rosak papa betulkan nanti”
Guna kebijaksaan anda untuk pujuk mereka. Ibubapa pastinya lebih mengenali anak mereka dengan lebih dekat.

4) Undang-undang


Setiap barang mainan yang baru dibeli, letakkan satu undang-undang. “Ini papa punya mainan, Imran nak main, boleh. Tapi kena main dengan papa.” Jangan berikan kuasa milik mutlak pada mereka. Tegur sikap mereka yang terus merampas barang yang mereka mahukan. Simpan barangan tersebut setelah bermain bersama. Undang-undang ini tidak semestinya dikuatkuasa pada semua mainan, cuma sesetengah permainan sahaja.

Ia mampu mengubah sikap dan cara anak bermain. Matlamat kita adalah untuk mereka terus boleh berkongsi dan berkomunikasi. Sebagai ibubapa kita perlu sabar dan berdoa. Tiada apa yang berlaku sekelip mata. InsyaAllah semua usaha ini ada balasan dariNya.

7 Tips Rangsang Anak Bijak

Image may be NSFW.
Clik here to view.

Tips Rangsang Anak Bijak, Dari Lahir Hingga 4 Tahun



Anak-anak kecil suka sesuatu untuk diterokai bagi merangsang minda, skil motor halus dan kasarnya, skil bahasa dan perkembangan kognitifnya. Satu kajian yang pernah dilakukan oleh pengkaji di luar negara mendapati bahawa, anak-anak yang mendapat stimulasi yang baik sebelum umurnya menjangkau 5 tahun, anak tersebut akan mempunyai masa hadapan yang lebih baik daripada anak-anak yang tidak menerima rangsangan yang sama semasa kecil.

Rangsangan kepada anak kecil seharusnya bermula sejak anak itu berada di dalam kandungan lagi. Dan ianya berterusan selepas kelahirannya sehinggalah anak itu besar. Ramai yang berpendapat kecerdasan mahupun kebijaksanaan anak itu adalah warisan ibu bapanya. namun ianya sukar berlaku jika anak tersebut tidak dirangsang dari awal.

Ikuti tips di bawah ini:


1. Tunjuk akhlak yang baik


Ketika anak berada di dalam kandungan, rangsanglah anak dengan tingkah laku ibu dan ayah yang baik. Bercakaplah dengan orang sekeliling dengan kata-kata yang baik dan sentiasa bersikap positif bagi menjaga kandungan agar sentiasa berada dalam keadaan baik.

2. Rahsia sentuhan


Apabila anak sudah lahir, mulalah dengan sentuhan kepadanya. Rangsang anak dengan susu ibu. Sentiasa sentuh dan peluk. Kajian menunjukkan anak yang banyak disentuh lebih baik tumbesarannya dan menjadi lebih berkeyakinan apabila sudah besar.

3. Biarkan anak main di luar


Memberikan ruang dan peluang untuk anak menerokai dunianya. Biarkan dia bermain pasir, rumput, tanah liat PlayDoh dan buih. Ini semua akan merangsang skil motor kasar dan halusnya.

4. Ajar bahasa yang baik-baik


Sentiasalah berbual-bual dengan anak. Ini akan merapatkan lagi hubungan kekeluargaan dan meningkatkan skil bahasanya.

5. Katakan tidak pada iPhone dan iPad!


Jangan terlalu mendedahkan anak kepada gajet dan alatan elektronik yang menghadkan potensi mereka untuk meneroka dunia mereka yang lebih luas dan menarik. Ada kajian menunjukkan, anak-anak yang terlalu terdedah kepada gajet dan alatan elektronik, tidak mendapat rangsangan yang secukupnya sehingga otot-otot mereka tidak berkembang dengan baik.

Kami pernah kongsikan keburukan bermain iPad dan tablet untuk anak. Sila baca dan kongsikan dengan ibu-bapa muda yang lain.

6. Sentiasa bercerita yang elok-elok


Bacakan untuk anak atau pun membaca bersama anak. Jadikan bercerita itu aktiviti wajib dan menarik untuk anak. Anak sangat suka mendengar cerita!

7. Aktiviti lasak


Merangkak, berguling, berlari, melompat, memanjat – ini semua membantu anak-anak agar dapat membesar dengan lebih baik. Ini adalah perlakuan kanak-kanak normal. Bukankah kita akan lebih risau kalau anak kita diam sahaja?

Seperti entri sebelum ini, ibu-bapa perlu tahu, betapa banyaknya kebaikan bermain dengan anak. Andai kata anak masih bayi, dan tiada idea, boleh rujuk 10 aktiviti bermain dengan bayi.

Selamat mencuba!

10 Cara Merangsang Otak Bayi

Image may be NSFW.
Clik here to view.

Cara Merangsang Otak Bayi



Tahniah kerana anda memilih untuk menjadi ibu bapa yang hebat! Memiliki anak yang soleh, sihat dan pintar adalah idaman setiap ibu bapa. Tentu sahaja kita akan berbangga memiliki anak sebegini. Ramai yang berpendapat bahawa kecerdasan mahupun kebijaksanaan anak itu adalah warisan ibu bapanya, namun ianya sukar berlaku jika anak tersebut tidak dirangsang dari awal. Bayi yang baru lahir dikurniaan Allah dengan berjuta-juta sel yang berhubung. Sel ini pula akan terus berkembang pesat dan mencapai puncaknya apabila dia berumur 3 tahun.

Kajian mengatakan bahawa ketika usia kandungan 6 bulan, bayi sudah boleh merasai apa yang berlaku di sekelilingnya. Sehingganya umurnya 3 tahun, kemampuan otaknya dapat dioptimakan jika dia mendapat ransangan yang baik dan sewajarnya. Antara yang kita boleh lakukan ketika anak di dalam kandungan bagi merangsang otaknya adalah mengambil diet serta nutrisi yang baik dan berkahsiat. Komunikasi juga menurut sesetengah kajian akan merangsangnya. Ketika anak sudah dilahirkan, teruslah berkomunikasi dengan anak. Banyakkan sentuhan dan pelukan. Ini semua membantu merangsang otaknya dengan baik.

Berikut adalah 10 tip yang boleh anda lakukan bagi merangsang otak bayi:



  1. Urutan yang santai dapat merangsang sel saraf otak bayi.
  2. Lakukan senaman ringan seperti menggerakkan tangan dan kakinya.
  3. Berbicaralah dengan bayi kita. Walaupun anak tidak pun memahami apa yang dikatakan oleh ibu atau bapanya, namun ia boleh menjadikan anak mengetahui cara dan pola percakapan ibu bapanya.
  4. Dengan gaya percakapan yang mempunyai intonasi tertentu, bayi akan terangsang dan membantu perkembangan otaknya.
  5. Muzik juga dapat memberikan suasana yang merangsang buat bayi. Alunan ayat-ayat Al-Qur’an serta nasyid-nasyid yang indah, selalulah didengar kepada bayi.
  6. Mulakan pembelajaran ringan yang santai dengan menunjukkannya gambar-gambar yang mempunyai kaitan dengan kehidupannya.
  7. Bagi seorang bayi, ubahlah kedudukannya sesekali supaya dia boleh melihat dan belajar dari keadaan sekelilingnya.
  8. Bawalah bayi anda keluar dan melihat keindahan alam dan makhluk di sekelilingnya.
  9. Memeluk dan menyentuh bayi adalah salah satu rangsangan untuk otaknya. Lakukan sekerapnya!
  10. Bermainlah dengan bayi. Dia pasti gembira dan bahagia.

5 Tips Anak Duduk Diam Di Kedai Makan & Restoran

Image may be NSFW.
Clik here to view.

Tips Anak Duduk Diam Di Kedai Makan & Restoran



*Artikel ini sangat sesuai diaplikasikan kepada anak yang berumur 3 hingga 7 tahun.

Makan di luar atau berjalan-jalan dengan anak pasti menjadi igauan ngeri bagi sebahagian ibubapa. Seorang ibu pernah berkongsi pengalamannya tentang bagaimana beliau mempunyai masalah yang besar jika membawa anaknya ke luar makan atau pergi ke rumah orang lain.

Banyak faktor yang menyebabkan anak tidak dapat bertahan lama atau ‘buat perangai’ di tempat orang atau di restoran. Antara faktor yang saya dapat kesan daripada puan ini adalah, anak beliau terlalu terdedah kepada gajet dan televisyen. Mengapa saya kata begitu?

Balik kampung


Beliau mengakui bahawa anaknya banyak bermain permainan video dan menonton televisyen. Keputusan beliau untuk melengkapi kereta dengan TV supaya memudahkan perjalanan pulang ke kampung yang mengambil masa 12 jam, amat memeranjatkan saya. TV atau gajet bukan penyelesaian untuk mententeramkan anak dan memastikannya duduk diam.

Anak-anak tidak digalakkan menonton televisyen atau bermain gajet lebih dari 2 jam sehari. Bagaimana jika 12 jam? Gajet dan televisyen sifatnya adalah, segala visual yang keluar, bertukar dengan pantas iaitu dalam beberapa saat sahaja. Jadi mereka sudah terbiasa dengan suasana keadaan sekeliling yang berlaku dengan cepat. Kesannya mereka tidak boleh menunggu lama dan tidak sabar.

Ajar anak belajar bersabar


Jadi tidak hairanlah jika anak tidak boleh tunggu lama di restoran, rumah orang atau di majlis-majlis. Jom kita bantu anak kita agar mereka jadi lebih fokus dan belajar bersabar.

Sebenarnya fokus saya dalam artikel ini adalah bagaimana membawa anak ke restoran tanpa perlu berperang dengan anak yang mengamuk sementara menunggu makanan tiba. Saya pernah menyaksikan seorang ibu berperang dengan anaknya yang mahu main Ipad ibunya sedangkan ibu mahu menggunakannya. Gajet bukan penyelesaiannya!

Kehidupan anda yang bergelumang dengan kerja di pejabat mahupun di rumah membuatkan anda kadang kala ingin makan dan bersantai di luar. Makan luar bersama anak kadangkala menjadi igauan ngeri bagi sesetengah ibu bapa. Makan malam anda terganggu dengan kerenah anak yang tidak dijangka. Anda tidak dapat menikmati makan malam dengan aman dan sempurna.

Akhirnya anda biarkan sahaja makanan tidak terusik kerana tiada selera lagi! Mari kita lihat tips anak duduk diam di kedai makan & restoran.

1) Restoran Pilihan


Restoran pilihan anda adalah restoran yang mesra anak-anak di mana anak anda bebas untuk bergerak ke sana sini dan boleh bermain dengan permainan yang dibawanya. Jangan sekali-kali makan di kedai makan tepi jalan kerana ia sangat merbahaya.

2) Mainan Dan Buku


Bawalah mainan atau buku kesukaan anak anda. Sedikit sebanyak ia dapat membantu anda untuk ‘melekakan’ anak anda ketika anda sedang menikmati makan malam.

3) Snek Ringan


Untuk mengelakkan menunggu makanan yang dipesan terlalu lama, anda bawalah makanan snek (yang baik dan berkhasiat) kerana dikhuatiri anak anda akan mengamuk kerana lapar.

4) Raikan


Jadikan makan luar anda sesuatu yang menarik anak anda. Jika sebelum ini anda larang anak anda makan aiskrim, cuba berikan keizinan untuknya merasa aiskrim. Pasti dia suka dan duduk diam menikmati kelazatan aiskrim. Jadikan ia sebagai ganjaran untuk anak anda. Katakan padanya, jika anda jadi budak yang baik, anda akan bawanya sekali lagi ke restoran itu untuk makan aiskrim.

5) Haramkan gajet


Gajet tidak dibenarkan dibawa bersama ketika makan. Jadikan makan bersama ini sebagai aktiviti kekeluargaan. Gajet hanya menjadikan ahli keluarga diam, dan kurang berkomunikasi.

Selamat mencuba!

Cara Menjadi Ibu Bapa Yang Baik

Image may be NSFW.
Clik here to view.

Cara Menjadi Ibu Bapa Yang Baik. Mesti Baca 10 Prinsip Ini!



Saya meyakini bahawa sebagai ibu bapa, kita mahu memberikan yang terbaik untuk anak-anak. Mendidik serta membesarkan anak-anak di zaman yang serba mencabar ini, memberikan sedikit kegusaran dan tekanan kepada ibu bapa muda. Kengkangan tugas yang menghimpit dan kos kehidupan yang semakin mencanak naik, menyebabkan ibu bapa dan anak-anak menjadi 2 entiti yang sangat berbeza.

Bagi ibu bapa yang benar-benar mementingkan pendidikan serta pengasuhan anak, mereka pasti sentiasa mencari ruang serta peluang bagi memberikan yang terbaik buat anak-anak. Ada yang pergi ke ceramah-ceramah, membaca buku keibubapaan dan menghantar anak-anak ke sekolah atau pusat asuhan yang terbaik.

Apakah cara yang paling baik bagi  menjadi ibu bapa yang terbaik buat anak-anak? Kita hanya berusaha dan merancang. Mudah-mudahan dengan usaha, maka kita dapat sama-sama membesarkan anak-anak dengan berjaya di zaman yang hebat ini. 10 prinsip di bawah ini akan memberikan sedikit panduan bagi ibu bapa muda mengaplikasi prinsip keibubapaan kepada anak-anak.

Prinsip 1


Ibu bapa adalah cermin anak-anak!


Berhati-hatilah duhai ibu bapa dengan segala tingkah laku serta percakapan kita di hadapan anak-anak. Apa sahaja yang kita lakukan di rumah mahu pun apa yang sering terkeluar dari mulut kita, akan mudah ditiru oleh anak-anak. Ibu bapa yang melazimkan ucapan terima kasih di dalam serta di luar rumah, pasti akan mendapati anak-anak juga biasa menyebut ucapan itu. Ibu bapa yang bersikap kasar terhadap anak-anak, pasti mendapati anak-anak juga bersikap kasar terhadap orang lain.

Prinsip 2


Berpadalah dalam menunjukkan kasih sayang


Sememangnya kasih sayang dan cinta tidak berbelah bahagi akan memberikan kepuasan kepada kita dan juga anak-anak. Gula dan garam yang berlebihan pasti membawa penyakit. Begitu juga dengan kasih sayang. Pemberian hadiah yang tidak sistematik dan tanpa had akan menjadi racun kepada anak-anak. Kita tidak digalakkan memberikan hadiah setiap masa dan menyogok anak-anak dengan kemewahan semata-mata agar mereka mendapat kepuasan dan mendapat apa sahaja yang mereka kehendaki. Sekali sekala didiklah anak-anak agar bersikap sabar dalam meminta sesuatu. Perasaan kecewa atau marah kadang-kadang perlu bagi mengimbangkan kehidupan. Moga mereka kenal bahawa dunia ini penuh dengan ujian dan kesukaran.

Prinsip 3


Libatkan diri dalam kehidupan anak-anak


Ibu bapa muda kadang terperangkap dengan kerjaya dan keluarga. Antara mengejar kemewahan dan memenuhi keperluan anak-anak. Ibu bapa perlu tahu yang mana keutamaan, keperluan mahu pun kehendak. Menghadiri hari sukan anak-anak atau bertemu klien untuk projek besar. Solat jemaah dan mengaji Al-Qur’an bersama keluarga atau memilih pulang lewat dari pejabat untuk menyiapkan kertas kerja untuk esok hari.

Prinsip 4


Mendidik anak-anak mengikut zaman, perkembangan serta umurnya


Mendidik anak-anak yang berumur 3 tahun dan 13 tahun adalah sangat berbeza. Anak yang berumur 3 tahun biasanya akan menunjukkan ketidakpuasan hati dengan berguling di atas lantai dan menangis sekuat hati. Anak berumur 13 tahun pula mungkin akan lebih menyendiri dan mencari kawan-kawan untuk menenangkan jiwa. Bagaimana menanganinya? Maka amat penting ibu bapa mendalami dunia keibubapaan bagi memenuhi keperluan anak-anak mengikut zaman, perkembangan serta umurnya.

Prinsip 5


Adakan dan cipta peraturan


Anak-anak perlu dididik dengan batasan tertentu. Di mana-mana sahaja perlu ada peraturan dan undang-undang yang perlu diikuti termasuklah di rumah. Kajian menunjukkan bahawa anak-anak yang biasa mengikut peraturan ketika kecil akan lebih mudah mengurus diri apabila sudah besar. Peraturan yang boleh kita lakukan di rumah seperti makan bersama, meletakkan baju kotor di bakul yang sepatutnya, menyusun kasut, menonton televisyen pada waktu yang ditetapkan sahaja dan sebagainya.

Prinsip 6


Memberikan kebebasan membuat keputusan


Kita boleh memberikan mereka pilihan. Kita boleh mendidik anak-anak agar pandai membuat keputusan mereka sendiri. Mereka memerlukan sedikit kebebasan bagi  menentukan minat serta kecendurangan mereka selagi ia tidak melampaui batas dan mendapat tunjuk ajar serta panduan ibu bapa. Contohnya anak-anak minat bermain kereta. Maka berikan mereka kebebasan untuk meminati apa yang mereka suka. Anak-anak yang meminati bola sepak untuk pilihan sukan ko-kurikulumnya pasti akan gembira jika dia diberi kebebasan untuk memilih sukan kegemarannya daripada dipaksa memilih hoki yang tidak diminatinya.

Prinsip 7


Konsisten dengan didikan yang diberikan


Ibu bapa usah jadi seperti lalang. Perlu konsisten dengan peraturan dan didikan yang diberikan. Contohnya jika anak tidak memasukkan baju kotor ke dalam bakul sepatutnya, tanyakan mengapa dia perlakukan sedemikian. Jika kita membiarkan sahaja, dia pasti akan melakukannya sekali lagi kerana dia tahu kita tidak kisah akan perlakuannya. Contoh lain adalah seperti solat. Kita bertegas agar anak melakukan solat pada waktunya. Jika kita tidak konsisten dengan peraturan tersebut, maka anak akan mengambil mudah akan perkara tersebut.

Prinsip 8


Tidak melampau-lampau dalam mendisiplinkan anak


Herdikan, pukulan, makian, jeritan adalah tidak patut dilakukan oleh ibu bapa kepada anak-anak. Di dalam hadith tentang solat, Nabi membenarkan kita memukul anak jika tidak solat pada umur 10 tahun, itu pun menurut Dr Abdullah Nasih Ulwan di dalam buku Tarbiyatul Aulad menyatakan bahawa bukan semudah itu untuk ibu bapa menjatuhkan hukum. 10 tahun pendidikan perlu diberikan dahulu kepada anak-anak. Jika selama 10 tahun itu anak-anak tidak dididik dengan baik, maka tidak wajar sama sekali anak-anak dipukul. Itu bab solat. Umur 10 tahun baru dibenarkan untuk pukul. Bagaimana pula anak yang berumur 5 atau 6 tahun? Kesalahannya hanya menumpahkan air atau berebut permainan. Adakah kesalahan itu lebih besar dari solat? Maka pukulan dan seumpamanya adalah tidak wajar dilakukan ke atas anak-anak. Jika ia perlu sekali pun perlulah berumur 10 tahun ke atas dan memukul atas alasan memberikan pengajaran dan bukan untuk mencederakannya. Perlu diingat bahawa memukul adalah jalan yang paling terakhir sekali setelah segala usaha dilakukan menemui jalan buntu dan ibu bapa sudah mula berputus asa.

Prinsip 9


Menjelaskan kepada anak tentang segala peraturan dan keputusan


Ramai juga di kalangan ibu bapa yang menggunakan kuasa vetonya dalam segala hal. Anak-anak perlu juga tahu mengapa peraturan atau keputusan ini dibuat. Maka penjelasan sangat perlu bagi memberikan gambaran yang baik kepada anak-anak. Contohnya, mengapa ayah tidak membenarkan anak menonton televisyen dari jam 7 hingga 8 malam – kerana waktu itu mereka wajib solat jemaah dan membaca Al-Qur’an bersama. Mengapa baju kotor perlu diletakkan di dalam bakul – kerana memudahkan ibu untuk melakukan proses membasuh baju.

Prinsip 10


Semua ahli wajib saling menghormati


Bukan anak sahaja yang mesti menghormati ayah dan ibunya. Kita juga sebagai ibu bapa mesti menghormati segala hak-hak seorang anak. Hak seorang anak untuk diperlakukan dengan baik, hak anak untuk dihormati, hak anak untuk dilayan dengan saksama, hak anak untuk memiliki barang peribadi miliknya dan sebagainya. Jika mereka dihormati, maka mereka juga akan menghormati kita sebagai ibu bapa mereka.

Selamat menjadi ibu bapa yang hebat!

4 Sebab Kenapa Ayah Penting Pada Anak-anak

Image may be NSFW.
Clik here to view.

Kenapa Ayah Penting Pada Anak-anak. Role Model?



Seorang pakar Sosiologi, Dr David Popenoe di dalam kajiannya mengatakan bahawa:

“Seorang ayah bukan sekadar orang dewasa di dalam sebuah rumah. Ia lebih daripada itu. Seorang ayah memberikan impak yang besar kepada keperibadian seorang anak”.

Kajian di luar negara banyak menunjukkan bahawa, keluarga tanpa didikan ayah akan menyumbangkan banyak gejala sosial di dalam masyarakat.

Jom, kita pandang suami kita dengan pandangan kasih sayang. Dalami jiwanya. Sentuh sanubarinya. Lihat dia sebagai ketua yang sangat berpengaruh dan penting di dalam keluarga. Anak-anak kita sangat memerlukan seorang ayah dalam kehidupan mereka. Libatkan suami kita di dalam setiap perkara yang kita lakukakan bersama anak. Mereka mempunyai hak untuk tahu segala perkembangan anak-anak. Sebagai seorang ayah juga, mesti mengambil tahu akan perkembangan anak-anaknya. Keluarga tanpa didikan seorang ayah, akan tempang sebelah. Tidak lengkap dan kurang sempurna.

Pepatah Arab ada menyatakan: Al waladu sirru abiihi. Maksudnya, seorang anak itu adalah bayangan ayahnya.

Pentingkah seorang ayah di dalam pendidikan anak-anak? Masyarakat sering mengaitkan mendidik anak-anak hanya terletak kepada seorang ibu sahaja. Walhal amanah serta tanggungjawab ini adalah tanggungjawab bersama.

Mengapa ayah penting kepada anak-anak?


1. ‘Style’ Mak Lain, ‘Style’ Ayah Lain


Komunikasi seorang ayah adalah berbeza dengan seorang ibu. Ayah itu adalah pelengkap kepada pentarbiyyah serta pendidikan anak-anak. Jika ibu tidak berjaya menasihati anaknya, mungkin komunikasi ayah yang berbeza dapat membantu.

2. Pembakar semangat anak-anak


Seorang ayah membina jati diri dan keyakinan anaknya. Lihat sahaja contohnya ketika anak belajar menaiki basikal. Saya sebagai seorang ibu sangat takut melepaskan anak di jalan tetapi suami sayalah yang memberikan semangat serta keyakinan kepada anak-anak saya untuk berani berbasikal. Jika hanya saya yang berkata-kata, entah bila anak saya akan pandai berbasikal.

3. Bertegas dalam disiplin


Seorang ayah mendisiplinkan anaknya dengan cara yang berbeza. Perbezaan memang perlu dalam beberapa perkara. Berbeza dengan ibu bukan bermakna cara didikan ibu itu berbeza dan tidak bersetuju dengan didikan itu, tetapi ia saling melengkapkan

4. Kepimpinan melalui tauladan


Ayah ialah contoh kepada anak-anak. Cara ayah makan, berpakaian, mencari rezeki akan dicontohi anak. Jika tanpa ayah, maka anak-anak tiada rujukan dan panduan. Tempanglah sebuah keluarga. Longgarkan sebuah institusi.

Ketika ibu sedang sibuk di dapur atau sedang membasuh pakaian, siapakah yang akan memerhati serta berbual-bual dengan anak-anak? Pastilah ayah. Ayah melengkapkan sebuah keluarga. Ayah ‘role model’. Ayahlah raja. Ayahlah cerminan akhlak anaknya.

Duhai ayah, engkau bukan sekadar dipinggiran. Engkau sangat perlu. Engkau aset penting. Engkau pemimpin.

Ibu dan ayah mesti berpegangan tangan dan berganding bahu. Memasang tekad dan niat bagi memberikan pendidikan serta pentarbiyyahan yang terbaik buat anak-anak.

10 Cara Hilangkan Ruam Lampin Bayi

Image may be NSFW.
Clik here to view.

Cara Hilangkan Ruam Lampin Bayi. Petua & Tips Mudah!



Lihat dan rasa kulit bayi selepas lahir, putih mulus dan gebu bukan? Sudah tentu. Oleh kerana itu juga, kulit bayi adalah sangat sensitif berbanding dengan kulit orang dewasa. Ia mudah mengalami kerengsaan. Kerengsaan ialah satu keadaan dimana bayi rasa terganggu dan tidak senang. Sesetengah bayi jika dibiarkan dalam keadaan basah terlalu lama kulit mereka akan menjadi merah dan tidak selesa. Keadaan inilah yang dikenali sebagai ruam lampin.

Apa itu Ruam Lampin?


Ruam lampin merupakan sejenis ruam yang berwarna merah dan merengsakan. Lazimnya, ia terjadi di bahagian dan di sekitar tempat yang ditutupi lampin. Ia melibatkan bahagian kemaluan, punggung, kelangkang dan peha.

Apa yang menyebabkan Ruam Lampin?


Ruam lampin boleh berlaku apabila kulit bayi yang sensitif menyentuh:

1. Air kencing terutama apabila lampin dipakai terlalu lama. Gangguan bahan kimia dari ammonia yang dihasilkan oleh air kencing akan memusnahkan lapisan perlindungan yang terdapat di kulit. Ini akan menyebabkan kulit menjadi merah dan keradangan.
2. Najis bayi terutama najis cair yang mungkin disebabkan oleh makanan bayi, ubat-ubat tertentu atau apabila tumbuh gigi.
3. Bahan kimia seperti jenis sabun tertentu atau serbuk sabun yang digunakan untuk mencuci lampin (dapatkan nasihat pegawai farmasi atau doktor).


Macam mana mahu tahu bayi terkena Ruam Lampin?


Antara gejala-gejala yang boleh dilihat dengan mata kasar ialah:

1. Kulit kelihatan merah, sedikit kasar dan berkerak di bahagian punggung, kemaluan, kelangkang dan peha.
2. Jika ia dijangkiti kuman, kawasan ruang lampin akan kelihatan berwarna merah garang, diseliputi ruam yang berkilat dan bertompok-tompok dan dipenuhi dengan bintil-bintil kecil di luar bahagian utama yang dijangkiti.

Apakah cara hilangkan ruam lampin bayi?


Petua penjagaan bayi yang terkena Ruam Lampin adaalah seperti berikut:

1. Pastikan bayi dalam keadaan kering


Dedahkan kawasan ruam kepada udara dengan menanggalkan lampin dari bayi sekerap yang mungkin terutamanya jika ruam bertambah teruk.

2. Tukar lampin dengan kerap


Apabila anda dapati lampin telah basah atau kotor tukarkannya dengan segera .

3. Cuci dengan air


Basuh punggung bayi setiap kali anda menukar lampin untuk membersihkan sisa air kencing atau lembapan dengan air suam atau krim sorbolone yang telah dibancuh dengan air (dapatkan nasihat dari pegawai farmasi).

4. Guna ubat saranan doktor


Sapu krim pelindung setiap kali anda menukar lampin (krim akuas, minyak mineral atau losyen lemak ‘wool’, zink dan krim minyak kastor).

5. Kurangkan penggunaan sabun


Jangan mencuci kawasan ruam dengan sabun terlalu kerap; 1-2 kali seminggu sudah mencukupi.

6. Elakkan bedak talkum


Jangan menggunakan talkum/bedak bayi atau seluar plastik. Ini kerana bedak talkum merbahaya pada paru-paru dan boleh mengganggu pernafasan bayi. Kalau mahu guna juga, gunakan bedak talkum yang diperbuat dari ‘cornstarch’. Biarkan kawasan tersebut kering sentiasa.

7. Longgarkan lampin


Pastikan bayi dalam keadaan selesa. Jangan pakaikan lampin ketat-ketat. Gunakan pelapik lampin yang lembut untuk melindungi kulit bayi yang sensitif.

8. Jangan basuh ‘cloth diaper’ dengan sabun pencuci


Ini untuk pengguna ‘cloth diaper’ sahaja. Elakkan guna sabun yang berbau wangi dan juga pelembut pakaian. Ini kerana bahan kimia akan bertindak dengan kulit bayi yang sensitif. Basuh sahaja dengan air panas dan bilas banyak kali. Pastikan ia dibilas dengan teliti setiap kali dicuci.

9. Minta probiotik atas saranan doktor


Apabila anak anda tidak perlu mengambil antibiotik, tanya doktor tentang memberi beliau probiotik juga. Probiotik menggalakkan pertumbuhan bakteria sihat dalam usus, yang boleh mengurangkan peluang anak anda mendapat ruam lampin.

10. ‘Breastfeeding’ / Susukan bayi


‘Breastfeeding’? Nampak tidak relevan bukan? Jangan salah faham. Menyusu anak anda selama yang anda boleh. Penyusuan susu ibu meningkatkan ketahanan anak anda terhadap jangkitan secara umum dan menjadikan dia kurang mungkin memerlukan antibiotik, yang boleh menyumbang kepada ruam lampin.

Apa perkara yang perlu dielakkan?


1. Jangan biarkan bayi dalam keadaan basah atau memakai lampin yang kotor.
2. Elak dari menggunakan seluar plastik terutamanya di waktu malam.
3. Jangan guna krim kortison sebelum mencuba kaedah penjagaan sendiri seperti di atas. Anda mungkin hanya merawat gejala ruam lampin sahaja dan bukan penyebabnya.

Semoga bermanfaat!

10 Cara Mendidik Anak Yang Baik & Pintar.

Image may be NSFW.
Clik here to view.

Cara Mendidik Anak Yang Baik & Pintar. Ada Bukti Saintifik!



Ada banyak cara untuk membesarkan anak dengan mengikut acuan dan pengalaman sendiri. Itu dari turun-temurun. Mungkin betul, mungkin salah.

Bagaimana kalau dengan bukti sains yang serba-sedikit dapat membantu? Mari kita bongkarkan bersama-sama.

1. Selalu bergurau, buat lawak dan ketawa bersama


Hasil kajian dari Economic and Social Research Councils’ Festival of Social Science pada tahun 2011 mengatakan dengan bergurau bersama anak-anak dapat membantu mereka dalam hubungan sesama manusia. Apabila ibu-bapa bergurau bersama anak-anak, diselangi dengan ketawa mereka, rasa sungguh bahagia.

2. Sentiasa bersabar dan berfikiran positif


Ibu-bapa jangan sesekali meluahkan perasaan marah atau negatif pada anak-anak. Apabila mereka dilayan dengan kasar, minda mereka akan diracuni dengan perihal negatif. Tambahan lagi, jika mereka mengalami layanan kasar yang sama ketika berada di rumah pengasuh. Seawal umur 5 tahun, anak boleh jadi agresif. Ia akan tersimpan dan menjadi-jadi apabila dewasa.

3. Tanamkan sifat bersimpati pada orang lain


Tidak bermakna tidak bersimpati pada diri sendiri. Namun, terapkan rasa simpati atas kesusahan orang lain. Jika nampak ada orang minta sedekah, ajar anak erti kesusahan. Berikan mereka setidak-tidaknya RM1 untuk disedekahkan. Mungkin nilai material tidak besar, tetapi ia akan memberi kesan jangka panjang yang amat mendalam.

4. Biarkan anak berdikari


Bukan ibu-bapa tidak sayang. Setidak-tidaknya, kita lihat mereka berusaha dengan kudrat sendiri. Jika berjalan-jalan di luar, cuba biarkan anak beli makanan sendiri. Kita perhatikan dari jauh sahaja.

5. Elakkan bergaduh di hadapan anak


Ini penting. Jangan bergaduh, memaki-hamun dan mencaci pasangan di hadapan anak. Ia akan memberikan kesan psikologi yang cukup hebat. Anak akan rasa runsing, tidak tenteram dan emosi tidak stabil. Kalau nak gaduh, sila masuk dalam bilik tidur. Silap-silap boleh dapat anak lagi satu.

6. Jaga kesihatan, elakkan tekanan


‘Stress’ cukup sinonim pada zaman sekarang. Mungkin sebab kerja di pejabat, mungkin juga sebab kerja-kerja rumah. Ubat tahan sakit bagaikan makanan harian pula. Ibu-bapa kena faham, bila mereka tertekan, anak juga terasa tempiasnya. Ini kerana mereka akan rasa layanan yang berlainan.

7. Ayah lebihkan masa dengan anak perempuan, ibu lebihkan masa dengan anak lelaki


Ini bukan sekadar soal jantina semata-mata. Ia adalah lebih kepada kemesraan. Selalunya, apabila anak semakin membesar, mereka masih lagi inginkan pelukan dan ciuman dari ibu-bapa sendiri. Walaupun selalu anak lebih rapat dengan ibu, mereka juga mahukan layanan istimewa dari ayah. Ini baru seimbang.

8. Biarkan anak ‘melawan’


Bukan dalam erti kata ‘melawan’ dengan kurang ajar. Namun biarkan anak memertahankan pendapat mereka sendiri. Ada kalanya, anak-anak rasa dia betul, namun sebaliknya, mereka belum cukup matang. Sebagai ibu-bapa, biarkan anak meluahkan rasa hati dan hujah mereka. Dengar dan fahamkan. Bukan bermakna kita setuju, tetapi sekadar memberi peluang mereka berkata-kata.

9. Usah berharap kepada anak yang sempurna


Semua ibu-bapa mahu anak yang ‘perfect’ atau sempurna serba-serbi. Namun, tidak semestinya kita dianugerahkan anak yang sebegitu. Jika mereka tidak berapa bagus pencapaian disekolah, dekatilah anak dengan kasih sayang. Jangan marah-marah bagaikan tiada hari esok. Mungkin itu sahaja tahap yang mereka boleh pergi. Dengan kata yang lain, ibu-bapa kena cuba menerima hakikat yang anak mereka tidak seperti yang diharapkan. Terimalah mereka seadanya.

10. Fahami kehendak anak


Semua orang rasa mereka lebih tahu cara mendidik anak. Namun, tidak semua anak berperangai sama. Mungkin ada yang sesuai dengan anak sulung, tetapi tidak pada anak kedua. Oleh kerana itu, penuhi kehendak anak yang berlainan. Bukan bermakna manjakan mereka dengan apa yang mereka pinta, tetapi lebih kepada penghargaan. Penyelidik bernama Liliana Lengua dari University of Washington mengatakan ibu-bapa perlu menyokong kehendak anak berdasarkan permintaaan mereka.

Kalau anak mahukan basikal, tentu dia akan berkata “Seronoknya tengok Amir (nama samaran) tu main basikal kan ayah. Macam best je”. Ia tidak secara terus, tetapi lebih kepada satu ‘signal’. Ibu-bapa kena cepat tangkap maksud tersirat sebegini.

6 Cara Mengatasi Anak Susah Makan

Image may be NSFW.
Clik here to view.

Cara Mengatasi Anak Susah Makan. Jangan Tension-tension!



Andaikan situasi begini. Anda penat-penat masak untuk si comel, tetapi dia meluahkan kembali makanan yang disuap. Apa perasaan anda? Tentu ‘tension’ dan marah bukan?

Acapkali perkara begini menjadi satu kerungsingan pada ibu-ibu diluar sana. Jika tidak diberikan makanan, takut perut anak masuk angin. Namun, bukannya ibu tidak mahu berikan makanan, tetapi anak itu sendiri yang tidak mahu diberikan makanan. Ya, agak rumit. Hanya yang pernah merasainya akan mengetahu betapa sukarnya keadaan anak susah makan ini.

Memang agak payah untuk menguruskan anak yang susah mahu makan sehingga boleh jatuh sakit lagi-lagi makanan berkhasiat. Kalau gula-gula atau aiskrim, tidak perlu disuruh pun. Lumrah kanak-kanak sukakan makanan manis. Tambahan yang berumur 3-6 tahun yang sudah pandai memprotes dan memberontak. Kadang-kadang, terpaksa memaksa, buat helah dan menipu supaya mereka makan. Tapi, cara sebenar untuk pastikan anak-anak makan bukanlah dengan paksaan. Lebih baik kalau secara berterusan dan kreatif.

Mari kita sama-sama pelajari, apakah antara tips yang boleh mengatasi masalah anak susah makan ini?

1. Hias makanan


Untuk mengatasi anak susah makan, cuba ambil pendekatan yang berlainan dari yang biasa. Cuba hiaskan makanan!

Kalau nasi dan sayur dibuat seperti muka ‘teddy bear‘, anak pasti suka. Lebih-lebih lagi bila menghias watak kegemaran anak-anak seperti Upin & Ipin atau BoboiBoy.

2. Variasikan makanan berkhasiat


Kalau anak anda sukar untuk makan sayuran atau buahan, cuba campurkan sedikit dengan krim putar, keju cair atau ais krim. Nampak macam bukan tekak orang Malaysia, tapi cuba dahulu. Contohnya, brokoli yang bersalut keju cair.

Pasti anak- anak anda akan makan juga kerana rasa sayur sudah tidak jelas, di enakkan dengan rasa keju. Kalau mereka sukakan minuman manis, banyakkan buat jus buah. Kalau mereka suka makan burger atau pizza, boleh lebihkan sayuran dan daging.

Pernah ada situasi seorang kanak-kanak boleh makan apa saja termasuk sayuran yang pahit selagi makanan itu disalut oleh keju walau dia tidak sukakan sayur. Perlu ingat, jangan beri anak-anak makan makanan tidak sihat seperti dibincangkan sebelum ini.

3. Makan sekali dengan anak


Kalau ibu-bapa sendiri tidak makan sayur, bagaimana anak ingin makan sayr? Anda sendiri kerana tunjukkan tabiat makan yang betul kerana anak-anak anda memerhatikan anda dan mungkin mengajuk semula tindak-tanduk anda.

Kalau mahu berdiet sekalipun, jangan ditunjukkan depan anak bahawa anda menahan makan dan menelan ubat kurus. Pastikan anda makan mengikut masa seperti rutin biasa seperti sarapan, makan tengahari dan makan malam supaya anak anda juga terikut-ikut cara anda. Tabiat makan makanan yang sihat juga adalah baik untuk mempengaruhi anak-anak.

4. Jangan paksa anak


Sentiasa berfikiran positif. Jangan cuba cara ugutan iaitu seperti tidak membenarkan anak anda bermain jika dia tidak habiskan sayur. Ia akan menanamkan rasa negatif dan benci terhadap sayur dimana mereka langsung tidak akan sukakan makanan tersebut.

Bertolerasi adalah cara yang terbaik. Atau dengan kata lain, ‘rasuah positif’. Contohnya, janjikan mereka makanan yang mereka suka dengan syarat mereka menghabiskan sayuran mereka. Jadi, mereka akan makan sayuran dengan lebih kerap dengan harapan mahu makan apa yang mereka suka selepas itu. Sekurang-kurangnya ianya bukan atas dasar paksaan dan ada perasaan negatif.

5. Masak sama-sama


Kalau anda membeli-belah dan mungkin ingin memilih sayuran atau buahan, cuba ajak anak anda untuk buat pilihan bersama. Kebiasaannya, mereka memang gemar untuk melibatkan diri walaupun buat pilihan atas makanan yang mereka tidak suka.

Apabila sampai waktu makan, mereka pastinya akan fikir mahukan ibubapanya makan makanan yang dipilih olehnya. Jadi dia juga akan turut makan sekali. Pastikan mereka juga lakukan kerja-kerja minor yang kononnya nampak seperti membantu anda seperti menggaul tepung, basuh sayur dan buah, mengacau masakan, memotong cendawan dan sebagainya.

Penglibatan sebegini mewujudkan rasa kasih sayang dan diberi perhatian di samping mengeratkan keluarga.

6. Tunjukkan kartun atau visual yang anak suka


Rajinkan diri untuk mengkaji dan kemudiannya menayangkan video kegemaran anak-anak yang menggambarkan pemakanan yang sihat.

Biasanya kanak-kanak akan mudah terpengaruh dengan apa yang dilihat di video tambahan kalau ada watak kegemaran mereka yang turut sama lakukan sesuatu seperti memakan makanan sihat.

Secara perlahan-lahan, anak anda yang mungkin payah untuk makan akan mula melihat tabiat makan itu adalah perkara baik. Contohnya seperti watak Popeye yang selalu makan sayur. Ada sebabnya mengapa watak-watak kartun dan artis-artis berpengaruh dibayar berjuta ringgit. Ini kerana mereka mampu memberi arahan dan mempengaruhi anak-anak lebih baik dari anda.

5 Jenis Makanan Yang Tidak Sihat Untuk Kanak-kanak

Image may be NSFW.
Clik here to view.

Jenis Makanan Yang Tidak Sihat Untuk Kanak-kanak. Jauhi! Hindari!



Setiap ibubapa menginginkan anak mereka membesar dengan sihat. Salah satu faktor anak-anak membesar dengan sihat adalah pemakanan. Namun, kini terdapat pelbagai jenis makanan yang tidak sihat lebih-lebih lagi jenis makanan segera atau Instant Food atau Fast Food!

Golongan dewasa tentulah faham yang makanan sihat itu terdiri daripada bahan-bahan segar seperti ayam, ikan, salad dan sayuran hijau. Buah-buahan segar pula digunakan sebagai pencuci mulut atau pembuka selera. Keadaan berlaku sebaliknya kepada kanak-kanak. Mereka menganggap makanan sedemikian sebagai jijk, membosankan, hambar dan lebih teruk ia dianggap sebagai racun!

Keadaan inilah yang menyebabkan kanak-kanak berperang dengan makanan dan isu ini adalah sangat mengecewakan.  Namun adalah penting terutamanya ibu bapa menjadi contoh terbaik menggalakkan pemakanan sihat. Yakinlah, bahawa suatu hari nanti, anak anda akan berterima kasih kepada anda kerana menyuapkannya dengan makanan yang sihat.

Saban hari, terlalu banyak makanan yang nampak lazat tetapi pada hakikatnya makanan tersebut mengandungi nilai pemakanan yang kecil berbanding pengawet, gula dan lemak yang digunakan.

Namun, bagaimana anda boleh tahu makanan yang boleh dielakkan ?

Untuk membantu anda membuat keputusan, terdapat 5 senarai makanan yang perlu dielakkan tetapi lazim diberi kepada kanak-kanak di Malaysia sama ada bersarapan, makan tengahari, makan malam atau makanan ringan.

1. Bijirin untuk Sarapan Pagi


Tidak dinafikan, apabila tiba waktu bersarapan, bijirin menjadi salah satu pilihan ibubapa di Malaysia untuk anak-anak bersarapan. Setiap hari kita dimomokkan di televisyen dengan iklan-iklan bijirin yang dimakan bersama susu dan sebagainya. Bijirin sememangnya mensasarkan kanak-kanak kerana golongan itu mudah dipengaruhi. Ditambah pula dengan pembungkusan yang menarik dan berwarna-warni. Hakikatnya, kuantiti gula yang digunakan amatlah melebihi keperluan bagi seorang kanak-kanak.

2.  Daging Proses


Ya, daging proses memang cepat untuk disediakan. Cuma keluarkan dari peti sejuk, dinyahbeku kemudian goreng dan siap untuk dimakan. Namun tidak kita perasan bahawa makanan ini sebenarnya ibarat span menyerap minyak masak yang digunakan semasa menggoreng ditambah lagi dengan pengawet digunakan. Ini akan meningkatkan lagi risiko sakit jantung dan lebih teruk lagi kanser. Kesannya tidaklah drastik tetapi jangka masa panjang.

3. Kentang Goreng


Tiada cara lain mengelakkan makanan ini sekiranya memang sudah tersenarai dalam makanan mingguan anak-anak anda. Namun masalah sebenar adalah apabila member anak-anak kentang  goreng setiap kali makan. Kentang goreng tidak menyediakan nilai nutrisi kepada anak-anak, sebaliknya kandungan lemak dan garam yang amat tinggi!

4. Pizza


Dibandar, khususnya Kuala Lumpur, makanan segera seperti pizza ini tidak asing lagi. Ibubapa yang penat seharian bekerja memlilih untuk menghubungi pizza dan menunggu ianya sampai di depan rumah. Namun ia sememangnya tidak sihat kerana pengawet disamping lemak dan kalori yang tinggi.

5. Snek & Makanan Ringan 


Kebanyakan makanan jenis ini dihasilkan dengan tepung yang diproses kemudian ditambah pengawet, pewarna, perasa sintetik dan minyak yang boleh menyebabkan tahap kolestrol yang tinggi.  Oleh hal yang demikian, amatlah tidak digalakkan sama sekali untuk memberi anak-anak anda memakan snek seperti ini

Kesimpulannya, sekiranya anda memahami cadangan sebenar, adalah dijamin anak anda akan berasa dan menikmati hidup yang lebih sihat pada masa akan datang.

7 Aktiviti Sains Yang Menarik Untuk Kanak-Kanak

Image may be NSFW.
Clik here to view.

Aktiviti Sains Yang Menarik Untuk Kanak-Kanak. Mudah & Menyeronokkan!



Banyak aktiviti sains yang menarik untuk kanak-kanak. Jauhkan dari gajet kerana banyak impak negatif dari yang positif. Untuk aktiviti ini, tidak perlu modal besar. Silap-silap, tidak perlu modal langsung.

1. Bina jambatan dengan dua cawan plastik dan kertas yang dilipat. 


Letakkan beberapa duit syiling sehingga runtuh jambatan. Tambah tebal kertas dan lihat kesan yang berlainan.

2. Ambil biji kacang hijau dan ajar anak tentang tumbuhan. 


Letakkan dalam bekas yang mempunyai kapas basah. Lihat bagaimana benih membesar jadi taugeh!

3. Tebuk dua tin susu dan sambungkan dengan tali. 


Macam telefon zaman dulu-dulu!

4. Terangkan berkenaan penyerapan air pada anak-anak.  


Kemudian menguji teori-teori mereka dengan mengambil barang-barang di rumah anda dan meletakkan mereka di dalam air. Lihat mana yang tenggelam, mana yang timbul.

5. Bawa ke kawasan padang. 


Tunjukkan pokok semalu. Minta anak sentuh dan lihat reaksinya.

6. Beli magnet yang ada Kutub Utara dan Kutub Selatan. 


Boleh beli di kedai Daiso dengan harga RM5 sahaja. Anak anda pasti teruja melihat magnet yang bergerak-gerak.

7. Kalau ada straw di rumah, boleh cuba. 


Lipat straw sampai ada gelembung dan minta anak jentik gelembung itu. Kalau tidak malu, boleh cuba di mana-mana restoran selepas selesai minum.

Adakah anda ibu yang kreatif atau seorang guru sains di sekolah? Kongsikan dengan kami apa lagi aktiviti yang menarik, mudah dan menyeronokkan untuk kanak-kanak. Bila penat bekerja seharian, boleh cuba buat aktiviti hujung minggu bersama keluarga.

7 Cara Mengatasi Anak Suka Menggigit

Image may be NSFW.
Clik here to view.

Cara Mengatasi Anak Suka Menggigit. Jangan Sampai Berdarah!



Anda tentu terkejut jika suatu hari anda mendapat tahu daripada guru atau pengasuh anak anda yang dia telah menggigit kawannya di taska atau sekolahnya. Anak anda menggigit jika dia tidak dapat mengawal keadaan kerana rasa takut, marah atau kecewa.

Ada juga anak yang sedang mengalami perubahan akibat mendapat adik baru di dalam keluarga atau berpindah rumah. Dalam keadaan yang lain, apabila merasa terlalu gembira atau ingin menyatakan rasa sayang, anak akan menggigit. Apa yang perlu anda lakukan jika anak anda menggigit?

1. Jarakkan anak dengan kawan-kawan lain


Pastikan Selamat. Ibu bapa atau pengasuh mesti memastikan anak dan kawannya yang ada potensi untuk digigit, dipisahkan atau dijarakkan daripada mudah digigit. Sebagai ibu bapa dan pengasuh anda mestilah tahu waktu dan keadaan bila kejadian ini bakal berlaku. Anda perlu tahu menjangka apa yang akan berlaku.

2. Nasihat dengan tegas


Awasi selalu. Petanda seperti menghentak-hentak kaki, menangis, menjerit biasanya akan mengakibatkan kejadian menggigit. Awasi anak anda dan hentikan perlakuannya sebelum dia menggigit. Peluk dia berdekatan anda dengan meletakkan wajahnya ke bahu atau dada atau meletakkan tangan anda ke mulutnya dengan lembut tetapi tegas dan katakan kepadanya,  “Menggigit menyakitkan” atau “Adik tak boleh sakiti kawan”.

3. Bertenang


Jangan Menyalahkan atau menghukum anak serta merta. Anda mungkin akan merasa marah dengan tindakan anak anda yang menggigit orang lain. Hukuman yang keras akan hanya membuatkan anak akan lebih memberontak dan melakukannya lagi.

4. Berikan perhatian


Anak yang menggigit dan digigit memerlukan perhatian. Selain daripada bantuan seperti memeriksa luka yang mungkin ada pada anak yang digigit dan menenangkannya, anda jangan lupa kepada anak yang menggigit. Tunjukkan rasa prihatin anda padanya dan ingin tahu apa yang membuatkannya marah dan kecewa. Mereka masih kecil untuk dihukum dan dimarahi.

5. Jangan gigit anak anda balik


Ada ibu bapa yang menggigit anak mereka dengan harapan anak mereka akan tahu bagaimana rasanya apabila digigit. Ini adalah tindakan yang salah kerana ia akan menyebabkan anak anda akan melakukannya semula. Bergurau dengan menggigit anak anda juga adalah sesuatu yang perlu dielakkan.

6. Galakan anak anda untuk dia mencari anda jika dia sedih dan kecewa


Anda mungkin tidak ada bersamanya jika dia sedang melalui saat sukar seperti kecewa dan marah ketika barang mainannya dirampas atau diusik oleh orang lain. Katakannya padanya jika dia rasa marah dan kecewa, minta pertolongan orang lain seperti ibu bapa atau pengasuh. Apabila anak datang mengadu tentang perasaannya, berikanlah perhatian kepadanya.

7. Selami perasaan anak


Bercerita tentang apa yang berlaku. Apabila keadaan tenang, bertanyalah kepada anak anda tentang perasaannya dan apa yang patut dia lakukan. Lakukan sedikit contoh lakonan seperti anda merampas mainan daripadanya dan katakan padanya jika ini berlaku beritahu kepada anda atau pengasuh. Ramai anak yang menggigit tetapi tidak akan melakukannya lagi jika kita tahu bagaimana untuk mengendalikannya

Belajar tenang dan positif. Kalau anak tidak makan sama, cuba cara disiplin anak tanpa memukul anak. Semoga bermanfaat!

5 Aktiviti Hujung Minggu Yang Menarik

Image may be NSFW.
Clik here to view.

Aktiviti Hujung Minggu Yang Menarik! Riadah Bersama!



Bosan duduk seharian di rumah pada hujung minggu? Anak-anak juga bising kerana tiada apa yang boleh dilakukan? . Sambil boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan, anak-anak juga akan rasa disayangi kerana ibu-bapa mengambil berat akan hal mereka. Kesibukan dan kesuntukan masa kerana seharian bekerja dari Isnin hingga Khamis tentunya meminta badan ‘direhatkan’ seketika. Lebih-lebih lagi jika tinggal di negeri maju seperti Selangor dan bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Putrajaya, Petaling Jaya, Shah Alam, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Namun, tatkala anda ingin ‘berehat’, anak inginkan perhatian. Ada yang mahu beriadah bersama. Ada yang ajak berkelah. Ada yang suakan buku untuk kita baca padanya. Anak umur 1, 2 dan 3 yang tidak tahu apa-apa juga mahukan perhatian dari ibu-bapa mereka. Suami pula perlu beri perhatian pada isteri.

Jom kita senaraikan apa aktiviti yang boleh dilakukan di rumah bersama anak-anak tanpa mengeluarkan sesen pun dari poket anda. Banyak faedahnya!

1. Mengemas tempat atau bilik tidur


Bersihkan “sarang” anda. Hindarkan dari segala kotoran sama ada dibantal, cadar atau apa sahaja yang berkaitan tempat tidur. Kajian menunjukkan tidur lebih selesa, nyenyak dan berkualiti sekiranya bilik anda lebih kemas dan bersih.

Lapkan tingkap, sapu lantai atau menyedut habuk dan debu menggunakan penyedut hampagas. Ajar anak lakukan perkara yang sama. Percayalah, mereka akan terlebih ‘excited’ bila diberikan kebenaran untuk bermain dengan ‘vacuum cleaner’.

2. Mengemas dapur rumah


Pastikan dapur anda bersih dan jauh dari sebarang serangga terutamanya semut! Semut akan mengundang lebih banyak lagi kehidupan lain seperti cicak yang akan mengotorkan lagi persekitaran rumah. Ingat, najis cicak tidak akan terhad di dapur sahaja!.

Anak-anak pantang jika diberikan peluang mencuci pinggan. Lagaknya bagai orang dewasa. Riak muka mereka pasti menggeletek hati kita.

3. Cuci kenderaan anda


Bak kata pepatah, “Sambil menyelam, minum air”. Mencuci kenderaan sama ada kereta, motorsikal mahupun basikal kesayangan mampu mengisi kekosongan aktiviti dirumah. Anak-anak akan mengambil kesempatan untuk bermain air di hadapan rumah. Dengan adanya “portable swimming pool” yang mampu milik dari Tesco atau Giant, anak-anak pasti tidak mahu keluar.

Percayalah, mencuci sendiri kenderaan anda lebih baik dari menghantar ke pusat cuci kenderaan. Mencuci sendiri adalah lebih bersih, kerana dilakukan dengan penuh “kasih sayang”! Badan juga semakin sihat kerana aktiviti fizikal dilakukan dengan sepenuh hati.

4.  Berkebun


Jika tinggal di apartment atau rumah pangsa, sukar untuk merealisasikan aktiviti berkebun. Namun itu bukan alasan. Bukankah boleh tanam di dalam pasu? Sekiranya anda tinggal di kawasan apartment anda boleh berkebun dengan menggunakan pasu- pasu kecil atau pun teknik hidroponik.

Sekiranya anda mempunyai tanah di halaman rumah yang tidak digunakan, maka gunakanlah ia sebagai salah satu aktiviti anda. Gemburkan tanah, kemudian tanamlah pokok yang anda suka. Persekitaran rumah akan lebih sejuk dan redup sekiranya banyak pokok yang ditanam dan diselenggara dengan baik. Asalkan bukan lalang!

Aksi anak yang bermain dengan tanah tentu membuat hati kita tenang. Biar baju kotor asalkan kita melihat mereka gembira.

5.  Tonton TV bersama-sama


Tinggalkan komputer riba atau ‘laptop’. Jauhi iPad dan iPhone atau apa-apa gajet. Nikmatilah aktiviti dirumah anda sepenuh hati. Rasai nikmatnya duduk di rumah berbanding pusat membeli belah. Luangkan masa berkualiti bersama anak-anak. Ajak semua anak-anak duduk bersama di sofa di hadapan TV. Baring bersama-sama mereka, peluk dan cium mereka. Pilih saluran kegemaran dan ketawa bersama-sama. Jika mempunyai langganan Astro, tengok sama-sama rancangan kartun kegemaran anak. Ingat, jangan biarkan anak tonton TV secara bersendirian.

Jika sebelum ini, asyik sibuk dengan kerja, sibuk dengan aktiviti luar seperti konvoi, majlis-majlis amal dan sebagainya, sesekali cuba latih diri anda untuk menikmati masa berkeluarga. Ini akan membuatkan anda lebih berfikir untuk kebaikan dan pembangunan diri sendiri untuk anda!

Kesimpulannya, terlalu banyak perkara yang boleh anda lakukan dirumah. Cuma cara kita menikmati kehidupan seharian mempengaruhi pemikiran kita. Oleh itu, lakukanlah apa-apa aktiviti fizikal dirumah sudah cukup untuk menyihatkan tubuh badan!

7 Tips Memilih Tadika

Image may be NSFW.
Clik here to view.

Tips Memilih Tadika. Apa Kriteria & Panduan Terbaik?



Tadika bukan setakat tempat belajar ABC, ejaan atau belajar suku kata Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Ia lebih kepada membentuk sahsiah diri di samping sebagai persediaan ke sekolah rendah pada umur 7 tahun nanti. Jika ada yang mahu hantar anak ke tadika Cina, kena belajar Bahasa Mandarin dan Bahasa Kantonis pula.

Sebenarnya, ada banyak faktor pemilihan tadika yang perlu diambil kira. Kami sertakan panduan pilih tadika yang elok untuk anak-anak kita. Antara kriteria yang penting ialah:

1. Guru bertauliah


Pastikan guru yang mengajar anak kita benar-benar bertauliah. Pelajar cilik berbeza perangainya dengan pelajar dewasa. Guru dan tenaga pengajar yang bertauliah sudah semestinya telah menjalani kursus khas untuk menangani kanak-kanak. Pastikan guru ini mempunyai kelayakan yang diiktiraf. Mereka lebih memahami psikologi kanak-kanak.

Guru ini juga mesti tahu buat rancangan pengajaran harian untuk tadika mereka. Ingat, tugas guru tadika bukan mudah. Bukan yang asal boleh sahaja!

2. Modul pengajaran & kurikulum


Perjalanan dan aturan pembelajaran mengikut umur kanak-kanak bergantung pada kurikulum. Ada tadika yang mempunyai kurikulum yang sama untuk setiap francais. Ada yang mempunyai kurikulum sendiri. Baca betul-betul apa yang ditawarkan dan bakal diajar pada anak kita. Usah tangkap muat. Modul pembelajaran tadika mestilah yang dapat membantu meningkatkan pengetahuan anak-anak kita dengan latihan yang sepatutnya.

3. Penerapan agama Islam


Kita bukan hanya untuk ajar anak untuk perkara dunia sahaja. Tidak salah jika pandai Berbahasa Inggeris. Cuma cuba tambah lebih nilai dengan dapatkan tadika yang menerapkan nilai-nilai Islam dalam pengajaran. Selesai sesi pembelajaran, ada juga tadika yang menawarkan pembelajaran Iqra’ seawal umur 4 tahun. Jangan lepaskan peluang ini. Daripada terbazir masa anak bermain yang bukan-bukan, lebih baik mereka belajar ilmu agama.

4. Lokasi


Mungkin dalam satu taman, tiada tadika yang menarik minat kita. Terpaksa pergi ke taman sebelah. Ibu-bapa mesti bijak memilih tadika yang sesuai dan berdekatan dengan tempat kerja. Jika ada apa-apa masalah, boleh kembali ke tadika untuk melihat anak.

5. Yuran bulanan


Ada tadika yang melampau-lampau harganya. Ada yang sederhana harganya. Ada juga yang murah. Tepuk seluar, tanya poket! Tadika yang mahal belum tentu bagus. Tadika yang murah tidak semestinya tidak bagus.Ramai yang memilih KEMAS kerana murah. Ada juga yang sanggup berhabis ribuan ringgit, bayar ikut semester di tadika swasta. Katanya, “Alaaa… tak kisah.. untuk anak-anak juga”.

Seperkara lagi, fikirkan tentang jumlah keseluruhan kos kerana adakah termasuk kos penghantaran van dari rumah ke tadika, dan dari tadika ke sekolah? Adakah yuran mengaji berasingan?. Adakah yuran ‘daycare’ juga lain? Apa yang penting, ikut kemampuan. Tiada organisasi yang memantau harga yuran bulanan tadika setakat ini. Kena rajinkan mulut bertanya.

6. Pemilik tadika


Kalau tadika kerajaan, sudah tentu pemiliknya adalah Kerajaan Malaysia. Kenapa pilih tadika swasta? Cuba bertanya dan kenal-kenal dengan pemilik tadika. Adakah beliau seorang ‘business man’ atau ‘business woman’ semata-mata? Pernah nampak mereka bersama anak-anak? Kalau pemilik tadika hanya mementingkan keuntungan dan tidak mahu luangkan masa dengan tadika mereka sendiri, kena fikir dua kali. Cari tadika yang pemiliknya mempunyai ‘passion’ pada pendidikan awal kanak-kanak. Jika berani, boleh tanya apa objektif mereka membuka tadika?

7. Keadaan tadika


Berbalik pada isu jika pemilik tadika yang hanya memikirkan untung semata-mata, tentu sekali mereka akan buat acuh-tak-acuh pada keselesaan anak-anak. Ada bilik yang sempit. Ada yang berbau. Ada perabot dan kerusi meja yang sudah lusuh. Ada pula siling bocor. Bukannya apa, kita mahu anak kita selesa dalam proses pembelajaran sehari-hari. Tambahan lagi, jika tidak selesa dan tidak bersih, kita tidak mahu anak kita dihinggapi penyakit.

Cuba lawat tadika itu terlebih dahulu. Lihat sendiri dengan mata kasar. Jangan dengar kata orang. Biar kita lebih puas hati.

Semoga bermanfaat!

6 Tips Bercerai Susu Botol

Image may be NSFW.
Clik here to view.

Tips Bercerai Susu Botol. Susu Badan? Ada Petua?


Ini adalah pengalaman saya sendiri di mana apabila anak-anak cerai susu botol, mereka akan tidur lena dan lebih mudah dikendalikan. Ramai yang bertanya bilakah masa yang sesuai untuk cerai susu botol sedangkan anak sudah menjejakkan kaki ke tadika dan bagaimanakah cara untuk cerai susu botol. Ada juga tanya petua paling efektif. In Shaa Allah, saya akan kongsikan di sini.

*Tip ini bukan untuk memberhentikan susu. Susu tetap boleh dan perlu diteruskan kerana susu adalah baik untuk tumbesaran. Susu masih boleh diberikan melalui cawan walaupun mereka sudah tidak meminumnya melalui botol.


Keburukan Minum Susu melalui Botol


Sebelum itu, kita perlu tahu, kenapa kita harus memberhentikan botol susu kepada anak-anak yang berumur 2 tahun ke atas? Di bawah adalah keburukan botol susu bagi kanak-kanak yang berumur 2 tahun ke atas:

1. Anak akan suka menyusu dan kurang makan kerana mereka sudah kenyang susu. Menghisap botol membuatkan mereka leka dan khayal.

2. Kebanyakan ibubapa yang mempunyai anak yang menghisap susu botol, mereka akan menjadikan botol susu sebagai cara untuk mendiamkan anak atau menidurkan mereka. Jadi apabila terjaga malam, ibubapa akan memberikan susu untuk menidurkan mereka semula, sedangkan itu bukan cara yang bagus untuk mereka.

3. Ibubapa terpaksa membawa peralatan menyusu ke sana sini termasuklah ketika melancong.

4. Tahap kesihatan anak yang menghisap susu botol juga tidak menentu jika ibubapa tidak menjaga kebersihan dengan sebaiknya. Penyakit yang selalu di hadapi adalah cirit birit.

5. Anak akan kerap bangun malam. Sebenarnya adalah normal bayi dan kanak-kanak bangun malam 4 hingga 6 kali. Tetapi jika kita memberikan susu setiap kali anak bangun supaya dia tidur semula maka dia tidak akan tidur semula selagi tidak mendapat susu.

Tips Bercerai Susu Botol


Percayalah, tips di bawah ini sungguh mudah. Kenapa saya katakan mudah? Ini disebabkan saya mengalaminya sendiri. Mari kita lihat.

1. Ibu mesti bersedia dan yakin


Cakap elok-elok dengan anak, bahawa dia tidak perlukan susu botol lagi. Biar dia faham. Contohnya, “Ummi yakin Wajdi sudah besar dan bersedia untuk berhenti susu botol!”

2. Jangan tawarkan selagi anak tidak minta


Jika anak tidak minta, buat apa beri? Bekalkan dengan air masak kalau perlu.

3. Lengahkan jika anak minta botol susu


Contohnya:

“Ummi, nak susu! “

“Boleh tapi Wajdi tolong Ummi dulu. Boleh?”

Kadang-kadang, bila kita lewatkan, anak jadi lupa. Lebih-lebih lagi bila seronok dan leka bermain. Bila haus sangat, dia pandai cari air masak sendiri.

4. Kurangkan kuantiti susu


Jika kita biasa buat 200ml pada satu-satu masa, kurangkan sedikit demi sedikit.

Malam minggu pertama: 200ml

Malam minggu kedua: 150ml

Malam minggu ketiga: 100ml dan seterusnya sehingga kita tidak menawarkan susu kepada anak.

5. Tidak membawa susu botol ketika berjalan-jalan atau melancong


Sebaik-baiknya, ibu perlu maklumkan kepada anak supaya dia bersedia yang tiada susu di sepanjang perjalanan. Bila anak tahu akan perkara ini, lebih mudah dikendalikan. Paling penting, tidak akan mengamuk saat kita seronok melihat pemandangan indah ketika melancong!

6. Gantikan sesi menyusu ketika sebelum tidur dengan aktiviti lain


Antara aktiviti itu seperti bercerita atau menyanyi sambil menggosok lembut badan anak sehingga dia tertidur. Janga pula sambil bercerita, sambil tengok ‘smartphone’ main Facebook. Berikan perhatian penuh pada anak.

Apa kesan positif selepas berhenti?


1. Anak akan mudah makan dan selera bertambah

2. Anak akan lebih berdikari

3. Anak tidak bangun malam/kurang bangun malam

4. Anak akan mudah diajar untuk tidak memakai lampin kerana kurang membuang air kecil

5. Ibu akan dapat tidur yang cukup

Kalau sesiapa ada doa cerai susu, mohon kongsikan dengan saya. Juga sesiapa yang ada pengalaman dan tips sendiri bagaimana pula bercerai susu badan, boleh kongsikan di ruangan komen.

Semoga ada manfaatnya untuk semua!
Viewing all 265 articles
Browse latest View live